Nuffnang..

Nuffnang

Wednesday, October 14, 2009

M.I.M.P.I < Chapter 01 - Sebuah Prologue >


"Hah.." keluh Aidan sambil menutup matanya untuk seketika. Matanya sudah penat untuk melihat namun dia kena bertahan, bertahan selama yang boleh sehingga semuanya selesai.

Malam ini adalah seperti malam-malam yang biasa untuk Aidan. Sebuah lagi malam yang penuh dengan tugasan. Tugasan yang sentiasa berlambak diatas ruang meja pejabat Aidan. Bagi Aidan, malam bukan masa untuknya beristirehat namun malam adalah masa untuk menyiapkan 'presentation', mengejar 'deadline' dan menghabiskan tugasan yang diamanahkan kepada nya.

Aidan kelihatan sungguh runsing dan lelah. Kebingungan memikirkan idea serta kepenatan mengerahkan tenaga.

"Mengantuk sangat la malam ni" Aidan berdiri dan terus berjalan ke pantri. "Lebih baik aku bancuh kopi dulu sebelum aku tertidur" Aidan bermonolog di dalam hati. Pantri terletak jauh di hujung korridor dari tempat duduk Aidan.

Sambil berjalan, Aidan sempat meregang-regangkan tangannya. Otot-otot di badan Aidan sudah hampir tidak berdaya lagi, namun bagi Aidan penat lelah adalah tidak penting jika dibandingkan dengan kerjayanya. Aidan berpendapat bahawa tiada yang lebih baik daripada kejayaan dan untuk mengecapi impiannya menjadi seorang arkitek yang berjaya, dia perlu berusaha lebih. Berusaha lebih sehingga mengorbankan rehat dan mengorbankan tidur.

"Aduh, Mak Mah lupa nak beli kopi la pulak. Kan hari tu dah diingatkan. Hish, nyanyuk betul la orang tua tu." Aidan duduk diatas kaunter pantri. Matanya meliar mencari sesuatu untuk mengisi perutnya yang lapar. Sejak petang tadi, dia belum lagi makan dan perutnya dah berkeroncong alunan muzik yang mengasyikkan.

"Sekarang dah 11.30. Bagus siapkan je kerja aku tu. Boleh lah malam ni aku balik awal sikit." Aidan tidak membuang masa lagi. Dia terus balik ke meja untuk menyiapkan kerjanya yang tertangguh. Masa adalah emas, Masa adalah berharga.


* * * * * * * * *


"Aidan... bangun Aidan... Aidan..."

"Bangun Aidan... Bangun..."

Aidan terjaga dari tidur. Dia bingkas bangun mencari seseorang. Seorang gadis yang telah membangunkannya dari lena. Namun tiada siapa yang kelihatan, tiada seorang pun manusia yang ada berdekatan.

"Aidan... Sini Aidan... Sini...." Aidan terus menoleh ke belakang. Suara perempuan tersebut rupa-rupanya datang dari arah pantri. Aidan kehairanan, hatinya berdebar kencang, fikirannya sudah melayang. Yang bermain di minda Aidan sekarang adalah siapakah gerangan gadis yang memanggilnya tadi. Jam sudah menunjukkan pukul 12.50 dan setahu Aidan, tiada lagi orang yang berada di pejabat ketika itu selain dirinya sendiri.

Aidan memberanikan diri.

"Siapa disana? Boleh beritahu nama awak tak?" Aidan masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Kalau diikutkan hati, dah lama dia lari dari situ. Namun, dia tidak boleh meninggalkan pejabat begitu sahaja. Nanti kalau ada apa-apa yang berlaku, dia akan dipersalahkan.

"Janganlah takut Aidan... Tolong datang sini... Saya perlu bantuan awak... Saya perlukan awak..." sambung suara misteri itu lagi.

Aidan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Akalnya menghalang dia untuk pergi, khuatir ini adalah mainan syaitan atau sesuatu yang buruk bakal menimpanya. Tetapi hatinya keras ingin membantu, jikalau benar wanita misteri itu memerlukan bantuannya.

Selangkah demi selangkah Aidan mendekati pantri, semakin kencang jantungnya berdegup. Adakah keberaniannya ini bakal membawa padah kepada diri Aidan? Siapakah wanita misteri itu? Itulah persoalan yang bermain di kepala Aidan ketika itu.

"Masuklah, jangan segan... Jangan malu, saya tahu awak dah kat depan pintu..." pernyataan suara misteri itu telah menghenti langkah kecil Aidan. Dia terkejut.

"Macam mana awak tahu saya kat depan pintu? Siapa awak sebenarnya?" Aidan masih enggan masuk ke dalam. Dia perlukan kepastian, dia perlu tahu siapakah wanita yang berada di dalam pantri itu.

"Masa adalah emas dan saya kesuntukan masa, tolong saya... Saya perlukan bantuan awak, kalau tidak saya akan mati... Awak adalah satu-satunya harapan saya, Aidan..." Suara misteri itu terhenti diikuti dengan bunyi kaca pecah.

Aidan tidak membuang masa lagi. Naluri kemanusiaan dalam menyelamatkan nyawa dan menyalurkan bantuan bertindak serta merta. Dia masuk ke pantri tanpa rasa ragu-ragu. Ketakutan yang menyelubungi dirinya sebentar tadi hilang seperti hilangnya suara misteri itu. Suara itu meminta tolong dan hanya Aidan yang berada di situ. Aidan tiada pilihan, dia perlu masuk ke dalam. Pilihan yang dibuat bakal memberi kesan mendalam terhadap diri Aidan.

Sebaik sahaja Aidan melangkah masuk ke dalam pantri, Aidan dibutakan oleh sinaran cahaya putih. Bilik itu bercahaya bagai bintang pada malam yang kelam. Aidan terkejut dan terpegun. Kilauan cahaya tersebut menyebabkan Aidan terpaksa melindungi matanya mengunakan tapak tangan. Aidan terpinga-pinga mencari sumber cahaya.

"Masih belum terlambat untuk aku berpatah balik" fikir Aidan, lantas menoleh ke belakang.

Namun Aidan telah terlambat, bilik pantri itu telah diterangi cahaya sepenuhnya. Cahaya putih tersebut bagaikan telah menutupi pandangan Aidan daripada pantri tersebut. Segalanya telah hilang, dan Aidan kebingungan. Kini, dia juga akan hilang di dalam cahaya terang. Cahaya putih tersebut semakin terang, Aidan sudah tidak terdaya untuk melihat. Dia sudah tidak berdaya untuk bertahan. Akhirnya, Aidan akur.

"Selamat tinggal........" Aidan menutup mata, tangannya didepakan bagai menerima padah yang menimpa.

"Selamat tinggal........"

Tiba-tiba,



1 comment:

eya eyda said...

sambung gik...jia you....polah panjang2..hahahaha...

Related Posts with Thumbnails