Tiba-tiba,
Tangan Aidan dipegang oleh seseorang. Sentuhan lembut bak sutera menyebabkan Aidan terpegun dalam terkejut sekaligus. Sentuhan tangan yang lembut membuatkan Aidan tidak mahu membuka matanya. Dia ingin kekal berada dalam dunianya sendiri. Dia ingin kekal dalam kegelapan ciptaan sendiri.
"Aidan.. Bangun Aidan..." Suara misteri itu berada seolah-olah sebelah Aidan. Aidan tidak mahu mendengar pujuk rayu wanita misteri itu lagi. Cukuplah sudah terperangkap dalam bilik yang terang bercahaya tadi.
"Terima kasih kerana awak datang untuk tolong. Saya tahu saya boleh berharap kepada awak. Saya sentiasa percaya kepada awak" sambung suara misteri itu lagi. Aidan senyap sahaja. Otaknya sedang ligat berfikir, berfikir berlandaskan realiti dan fantasi, berfikir mencakupi batasan logik akal.
"Awak tak perlu takut lah. Saya tak makan orang. Saya cuma nak minta pertolongan dari seorang kawan. Tak perlulah awak tutup mata memanjang. Muka saya ni tak buruk lah" kata suara misteri itu bernada merajuk. Tangan Aidan dilepaskan. Aidan masih menutup mata. Tangannya kini merindui sentuhan lembut tadi. Hatinya meronta-ronta ingin tahu.
"Siapa awak sebenarnya? Kenapa bilik pantri tadi bercahaya terang sangat? Apa maksud awak tentang awak hanya nak minta pertolongan dari kawan? Siapa kawan awak? Saya ke? Saya tak kenal awak lah. Lebih baik awak tinggalkan saya seorang diri. Saya ada banyak kerja yang belum lagi siap kat pejabat." Aidan duduk menunggu jawapan daripada suara merdu wanita misteri itu.
Namun, tiada satu patah perkataan yang keluar dari mulut wanita itu. Suasana menjadi kosong, cuma bunyi kicauan burung dan sentuhan hembusan angin dapat dirasai oleh Aidan. Kehadiran kelibat wanita misteri itu masih dirasai berdekatan.
"Woi...!!! Saya tanya awak soalan, awak boleh tolong jawab tak? Tolong jangan kusutkan otak saya lagi, boleh? Saya tahu awak masih ada dekat sini jadi tolong jangan berdiam diri" Aidan kelihatan sedikit marah. Matanya masih tertutup rapat.
"Awak, tolong sikit ye!!! Saya ada nama tau. Tak perlu la panggil Woi...!!! Cuba awak buka mata awak tu. Semua soalan yang terlampau banyak awak tadi akan terjawab jika awak buka mata. Awak nak jadi buta ke? Saya boleh tolong butakan." Wanita tadi melawan. Aidan terdiam. Dia tahu, dia memang bersalah dalam hal tadi. Dia tidak sepatutnya menengking dan meninggikan suara pada wanita itu.
"Saya minta maaf. Saya cuma berasa stress dan keliru dengan semua ini. Semua ini tidak masuk akal bagi saya. Kemunculan awak membuat saya amat keliru." Aidan menggaru kepala, dahinya berkerut.
"Saya pun nak minta maaf kat awak. Kita tak sepatutnya berjumpa sebegini rupa tetapi saya terpaksa. Saya tiada pilihan. Saya perlukan bantuan awak. Satu lagi, awak takkan dah lupakan saya. Awak tak ingat lagi suara saya ke? Saya Hannah la." kata wanita itu sambil ketawa kecil.
'Hannah'. Nama yang begitu asing untuk Aidan. Tiada seorang kenalan atau ahli keluarganya yang bernama 'Hannah'. Nama yang begitu cantik. Sesuai sungguh dengan sentuhan lembut tangannya, sesuai sungguh dengan haruman semerbak kehadirannya, sesuai sungguh dengan kemerduan suaranya. Aidan berasa sungguh teruja untuk mengenali 'Hannah' dengan lebih jelas. Aidan ingin melihat wajah gadis yang mengakui dirinya sebagai 'Hannah' itu.
"Akhirnya awak buka mata. Saya ingatkan awak dah lupa nak melihat" cakap Hannah
"Awak Hannah? Saya tak pernah jumpa awak pun sebelum ni?" Aidan menyoal. Dalam kekeliruan, Aidan terpegun kepada dua benda. Satu, terpegun dengan kecantikan gadis yang berada di hadapannya itu. Dua, terpegun dengan keindahan taman bunga yang dia dan Hannah sedang berada. Mereka berdua betul-betul sedang duduk di atas bangku, di tengah-tengah sebuah taman bunga yang cantik.
Hannah cuma mampu ketawa dan mengeleng-gelengkan kepala. Dia berjalan menjauhi Aidan. Aidan berasa hairan. Dia memang tidak mengenali Hannah, namun Hannah bagaikan mengenalinya lama.
"Saya sukakan bunga ros. Saya sukakan musim bunga." Hannah menari-nari sambil menghulurkan bunga ros merah kepada Aidan.
Sambil mengambil bunga, Aidan bertanya.
"Ermm... tadi awak cakap, awak perlukan pertolongan saya. Apa yang boleh saya bantu? Memandangkan saya sudah berada disini." Aidan memeluk badannya sendiri. Udara sekeliling bertambah sejuk. Aidan yang hanya berbaju kemeja langsung tidak dapat bertahan. Hannah pula kelihatan sebaliknya.
Langkah tarian Hannah terhenti. Soalan Aidan tadi benar-benar menyedarkan keasyikan Hannah. Hannah mendekati semula Aidan.
"Haha... tentang tu, kita lupakan dulu. Baik kita bersembang, mengenang kisah-kisah silam." Hannah duduk kembali di sebelah Aidan.
"Dah lama dah tak jumpa awak, awak buat apa sekarang? Saya tengok tadi awak semakin sibuk. Banyak tugasan ke?" Hannah menepuk kecil belakang Aidan. Aidan sedikit keliru dengan pernyataan Hannah.
"Dah lama dah tak jumpa? Apa maksud awak? Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?" Aidan menyoal bertubi-tubi. Bunga ros merah diletakkan di atas riba. Dalam kebingungan, dia menegakkan posisi badan, menandakan yang dia benar-benar serius mengenai hal ini.
Hannah senyum sahaja. Senyuman menawan yang mampu mencairkan hati mana-mana jejaka yang melihatnya. Dia mengambil bunga ros dari Aidan dan terus berkata,
"Awak sibuk sangat dengan urusan awak, dengan kerja awak. Terlalu sibuk sampai lupa siapa saya sebenarnya. Tapi, saya sentiasa ingat awak." Hannah bangun semula dan berjalan ke belakang bangku tempat duduk Aidan. Bunga ros dimainkan pada sandar bangku tersebut.
Dahi Aidan berkerut menandakan dia memang tidak ingat apa-apa. Dia telah cuba ingat sedaya upaya namun tidak berjaya. Ini adalah pertama kali, dia berjumpa dengan perempuan ini. Perempuan misteri yang memperkenalkan diri sebagai Hannah.
Hannah menghulurkan bunga ros itu semula kepada Aidan lalu berkata,
"Hmm... awak langsung tak ingatkan saya. Takpe, asalkan saya ingatkan awak. Asalkan saya percayai kepada awak. Awak tak perlu berkerut dahi lagi memikirkan hal ini."
Aidan menoleh ke belakang kehairanan. Hannah tersenyum melihat tindakan Aidan. Hannah berkata lagi,
"Tak perlu susah-susah awak fikirkan saya. Awak cuma perlu tutup mata,....."
Aidan menutup mata. Bunga ros merah diletakkan atas bangku disebelahnya.
"Tutup mata. Supaya awak boleh... Sandar dan ingat" Suara Hannah yang merdu beransur hilang. Aidan menyandarkan badannya dan terus mindanya terus hilang. Hilang dibuai mimpi.
*********
Telefon Aidan berbunyi nyaring membuatkan Aidan terkejut dari tidur. Aidan mengangkat 'handphone' itu.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumusalam, Umi." Aidan menjawab sopan.
"Ada apa-apa yang berlaku ke, Ashraf? Kenapa tak balik lagi. Umi risau. Sekarang dah pukul 2 pagi. Ashraf kat mana sekarang?" suara Puan Norlia, ibu Aidan berbaur kerisauan. Bagi Puan Norlia, panggilan Ashraf lebih biasa baginya. Ashraf Aidan bin Ariffin Ardan Abdullah, itulah nama sebenar anak remaja kacukan Melayu-Irish ini.
"Ashraf kat pejabat lagi ni. Baru nak balik. Umi tak payah tunggu Ashraf balik ye. Umi tidurlah dahulu. Kejap lagi Ashraf balik." pujuk Aidan. Dia masih lagi mamai sambil mengosok mata dan menguap.
"Ashraf jangan balik lewat sangat ye. Awal pagi nanti nak pergi kerja lagi. Nanti tak cukup tidur. Umi tidur dulu. Kalau Ashraf lapar, Umi ada simpan sotong cili dalam 'fridge'" Puan Norlia mengingatkan Aidan.
Aidan meletakkan kembali 'handphone'nya ke meja. Dalam mindanya hanya ada sotong cili, katil dan Hannah. Sambil mengemas meja, dia berfikir panjang tentang apa yang berlaku malam itu.
"Rupa-rupanya, aku bermimpi. Aku cuma bermimpi dari tadi." senyum Aidan seorang diri.
"Sandar dan ingat. Nak ingat apa?" Aidan senyum sambil mengingat kata-kata terakhir Hannah.
"Hannah hanyalah mainan tidur. Hannah hanyalah mimpi dan..." Aidan yang sedang bercakap seorang diri tiba-tiba diam. Perlahan-lahan, dia mengambil sesuatu di sebelah bawah kerusinya. Hatinya gembira tadi kembali bingung.
Perlahan-lahan dia mengangkat bunga ros merah yang Hannah berikan kepadanya di dalam mimpi itu tadi. Aidan terdiam. Bulu romanya meremang memikirkan hal bunga ini. Macam mana bunga ros merah ini boleh muncul di sini? Aidan tidak berfikir panjang. Dia terus membuang bunga tersebut dan terus balik. Adalah lebih baik dia meninggalkan tempat tersebut sebelum dia hilang semula ke dalam bilik bercahaya putih itu.
"Saya sukakan bunga ros. Saya ingat kepada awak. Saya percaya kepada awak" kata-kata Hannah terngiang-ngiang di dalam minda Aidan. Siapa sebenarnya perempuan itu? Aidan langsung tak ingat.
"Saya Hannah la. Awak cuma perlu tutup mata, sandar dan ingat"
No comments:
Post a Comment